Showing posts with label Fiqh Ibadah. Show all posts
Showing posts with label Fiqh Ibadah. Show all posts

14 August 2010

Harapan Ramadhan- Raihan dan Man Bai
www.iluvislam.com
Dihantar Oleh : Isyrak
Editor: Isyrak


Ku mengharapkan Ramadhan

Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti

Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kita memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan

Selangkah demi selangkah…
Dengan rahmatMu oh Tuhanku…
Ku tempuh jua
_____________________________________________________________________

"Wahai orang-orang yang beriman, telah diwajibkan ke atas kamu puasa seperti mana diwajibkan ke atas mereka sebelum kamu, mudah-mudahan kamu bertaqwa." Al-Baqarah 183

Wahai sahabat-sahabatku, terdapat tiga kategori manusia yang terhasil daripada Madrasah Ramadhan

1- seseorang yang bertambah imannya, amalnya berbanding yang sebelumnya
2- seseorang yang sama imannya, amalnya berbanding yang sebelumnya
3- seseorang yang berkurang imannya, amalnya berbanding yang sebelumnya

Agak-agaknya kita akan dimasukkan ke dalam kategori mana? Alangkah berbahagianya andai kita termasuk di dalam kategori pertama. Marilah kita koreksi diri, muhasabah setiap amalan kita supaya ianya membantu mempertingkatkan ibadah pada bulan Ramadhan yang bakal kita lalui nanti. Jadikan Ramadhan kali ini sebagai wadah untuk kita tingkatkan amalan agar ia akan menjadi Ramadhan yang terbaik pernah kita lalui, insyaAllah.

Selamat menyambut Ramadhan al-Mubarak.

Lagu dalam bentuk MP3 boleh didownload di Harapan Ramadhan.

01 August 2010

Soalan Besa Ble Dekat2 Nak Posa....


Soalan berkaitan fidyah....Tolong jgn amik mudah dgn puasa yg ditinggalkan.. Baik bayar posa+fidyah di dunia sebelum Allah soh kita bayaq di akhirat!



Soal Jawab Agama
JAKIM


Soalan :

Assalammualaikum..
bagaimankah cara yang menepati syarak bagi seseorang itu membayar fidyah?

Jawapan :

1) Cara membayar fidyah yang menepati syara' ialah dengan membayar 1 cupak beras untuk 1 hari bersamaan dengan 675 grm bersamaan juga dengan 15 tahil.
2) Bagi puasa yang ditinggalkan wajib diqadha' mengikut jumlah hari yang ditinggalkan
3) Fidyah akan berganda sekiranya puasa tidak diqadha' sehingga melangkaui tahun. Seperti contoh

3 hari puasa yang ditinggalkan 2 tahun lepas kirannya : 3 cupak beras x 2 tahun = 6 cupak beras


**Harga secupak beras tahun lepas = RM1.30

15 January 2010

SOLAT SUNAT GERHANA MATAHARI (KUSUF

oleh ustaz Azhar Idrus@http://ustazazhar.com/v1/lain-lain/solat-sunat-gerhana.htm


Solat Sunat Gerhana atau juga dikenali sebagai solat sunat Kusuf atau Solat Khusuf merupakan solat yang didirikan sewaktu terjadi gerhana bulan atau matahari.Solat sunat gerhana matahari dalam istilah arabnya : Solat Sunat Kusuf. Solat sunat gerhana bulan dalam istilah arabnya : Solat Sunat Khusuf.



Kusuf dari segi bahasa bermaksud terlindungnya cahaya matahari samada terlindungnya itu dalam bentuk juzu'nya atau keseluruhannya. Khusuf pula mutlak digunakan untuk lindungan cahaya bulan secara juzu' atau pun keseluruhannya. Ramai ulama' yang menyatakan bahawa kedua-dua kalimah itu boleh digunakan untuk kedua-duanya sekali samada gerhana bulan atau pun matahari.



Hukum Solat Gerhana Matahari



Hukumnya adalah sunat muakkadah atau pun sunat yang digalakkan.



Ini berdasarkan daripada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermakna : Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda daripada tanda-tanda (kebesaran) Allah tidak berlaku gerhana pada kedua-duanya kerana kematiaan seseorang dan tidak pula kerana kelahirannya. Maka apabila kamu melihat perkara itu maka sembahyanglah dan berdoalah sehingga kembali terang(hilang gerhana) apa dengan kamu.



Hadis ini keluar daripada mulut Rasulullah s.a.w pada hari kematian anak lelakinya Ibrahim di mana ramai orang mendakwa bahawa kematian Ibrahim inilah yang menyebabkan matahari bersedih sehingga berlakunya gerhana. Mengikut kepercayaan mereka ketika jahiliah di mana apabila berlakunya gerhana matahari atau pun bulan maka mereka beranggapan bahawa berlakunya sesuatu gerhana disebabkan kematian seseorang yang besar dan mulia.



Rasulullah s.a.w telah menyangkal kefahaman karut ini lalu bersabda sebagaimana tersebut. Begitulah juga dengan kebanyakan kita hari ini yang mana mereka bukan bersegera untuk solat gerhana apabila berlakunya sesuatu gerhana tetapi sebaliknya mencari sesuatu untuk memukul pangkal-pangkal pokok buahan supaya berbuah lebat. Perkara ini jika melibatkan kepercayaan yang berlawan dengan kekuasaan Allah dalam membuat sesuatu boleh membawa kepada syirik.



Cara Solat Sunat Gerhana


Solat gerhana ini disunatkan untuk ditunaikan secara berjemaah dengan diseru sebelum mendirikannya : as-Solatu Jaami'ah!! (Solat berjemaah )



Niatnya : "Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat mengikut imam kerana Allah Ta'ala" - (Jika berimam) ataupun "Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Ta'ala" - (Jika solat seorang diri)



Solat gerhana ini boleh dilakukan secara berseorang atau secara berjemaah dan sebaiknya dilakukan secara berjemaah. Solat Gerhana mengandungi 2 rakaat, 4 al-Fatihah, 4 rukuk, dan 4 sujud. Iaitu seperti berikut :



Rakaat pertama


1. Niat solat Gerhana, Takbir


2. Baca Surah Al-Fatihah dan surah


3. Rukuk


4. I'tidal


5. Baca Al-Fatihah dan surah


6. Rukuk.


7. I'tidal.


8. Sujud dan seterusnya seperti solat biasa.


Rakaat kedua


1. Niat solat Gerhana, Takbir.


2. Baca Al-Fatihah dan surah.


3. Rukuk.


4. I'tidal,


5. Baca Al-Fatihah dan surah.


6. Rukuk.


7. I'tidal.


8. Sujud


9. Tahiyyat Akhir

Jom Mencerap Gerhana Matahari Separa 15 Januari 2010!



Gerhana Matahari Cincin (annular)


Seronok ketika melihat gerhana bulan separa yang lepas? Sangat bertuah bagi siapa yang berkesempatan untuk melihatnya. Namun ada juga yang tidak bernasib baik oleh kerana pelbagai sebab. Ada yang tertidur, hujan dan mendung, dan ada juga yang takut akan hantu untuk keluar pada waktu malam, dan bermacam2 alasan lagi.hehe Apapun yang berlaku pada 1hb Januari tersebut, sekarang mari kita tumpukan perhatian kepada peristiwa gerhana matahari separa yang akan berlaku pada 15hb Januari 2010 ini.

Pada 15hb Januari ini, peristiwa gerhana matahari cincin (annular) akan berlaku yang meliputi laluan sejauh 300km merentas tengah Afrika, lautan Hindi dan kawasan Asia Tenggara. Ketika itu, bulan akan melintas di hadapan matahari, menyebabkan tidak sampai 100% dari permukaan matahari akan ditutup oleh bulan. Oleh hal ini, gerhana yang terbentuk akan berupa seakan cincin.

Namun di Asia, gerhana cincin hanya dapat dilihat di India, Myanmar dan seterusnya di negara China. Negara lain di Asia termasuklah Malaysia hanya akan termasuk ke dalam bayang penumbra bulan yang akan menyebabkan kelihatan gerhana matahari separa sahaja.


GERHANA MATAHARI SEPARA 15 JANUARI 2010

Pada 15hb ini, peristiwa gerhana matahari separa akan akan dapat dicerap di Malaysia. Waktu cerapan ialah sekitar jam 3.00 petang, pertengahan gerhana pada 4.30 petang dan berakhir sekitar jam 5.30 petang. Kali ini, bulan akan menutupi sehingga 35 peratus dari permukaan matahari yang akan menyebabkan matahari kelihatan seperti bulat sabit.

Waktu dan peratusan permukaan matahari yang ditutup oleh bulan adalah berbeza mengikut tempat di Malaysia. Saya senaraikan jumlah peratusan bagi bandar2 utama. Nampaknya orang di Utara paling beruntung. Hehe...

Kangar : 39.1%
Alor Setar : 38%
Georgetown : 36.3%
Kota Bharu : 34.5%
Ipoh : 33.2%
Kuala Terengganu : 31.1%
Shah Alam : 28.8%
Kuala Lumpur : 28.3%
Seremban : 27.3%
Kuantan : 27.2%
Melaka : 25.6%
Johor Bharu : 21.5%
Kota Kinabalu : 13.5%
Kuching : 12.2%

Sila klik jadual di bawah untuk perincian waktu gerhana mengikut tempat.




CARA MENCERAP GERHANA MATAHARI SEPARA

Untuk mencerap gerhana matahari, anda dilarang sama sekali untuk melihat matahari menggunakan mata kasar sahaja. Walaupun ada yang akan kata matanya halus atau apa pun alasannya, anda tetap dan wajib menggunakan teknik tertentu untuk mengikuti gerhana ini demi keselamatan mata anda. Antaranya ialah ;

1. Projeksi Lubang Pin Dengan Kad Board

Buat satu lubang menggunakan pin pada kad board. Kemudian benarkan cahaya matahari melalui lubang kad tersebut dan seterusnya cahaya itu jatuh pada satu kertas putih. Cahaya yang berbentuk bulat itu akan menyerupai cakera matahari yang sedang ditutup secara perlahan2 oleh bulan. Klik di sini untuk gambar rajah.

2. Projeksi Lubang Pin Dengan Kotak Panjang

Konsepnya sama dengan cara di atas, cuma ianya menggunakan kotak panjang yang mempunyai satu tetingkap untuk melihat imej gerhana. Klik di sini untuk gambar rajah.

3. Bayang Dari Pokok atau Objek Yang Berlubang

Ketika gerhana terjadi, perhatikan pada cahaya matahari yang terhasil pada bayang pokok. Anda juga boleh gunakan sebarang objek seperti senduk yang berlubang.




4. Menggunakan Cermin Mata Gerhana Khas

Kredit imej : ANGKASA

Anda adalah dilarang sama sekali menggunakan cermin mata hitam biasa, polaroid, negatif filem, filem xray, atau sebarang penapis lain yang tidak diiktiraf. Saya percaya ramai yang akan degil dengan menggunakan peralatan yang saya sebutkan tadi, malah kadang kala saya juga turut berbuat begitu.hehe.

Namun ingin saya ingatkan di sini jika anda berdegil, mata anda akan mengalamai kerosakan secara perlahan2 oleh kerana mata tidak mempunyai deria sakit. Risiko untuk katarak juga meningkat.

5. Menggunakan Teleskop Dengan Penapis Khas.


Kredit imej : ANGKASA

Teleskop yang dilengkapi penapis khas seperti mylar sahaja boleh digunakan untuk mencerap gerhana matahari. Teleskop tanpa penapis boleh membawa padah yang membinasakan mata anda.

6. Menggunakan Projeksi Binokular


Kredit imej : Society for Popular Astronomy




JENIS-JENIS GERHANA MATAHARI

Gerhana matahari berlaku apabila bulan melintasi di hadapan cakera matahari. Peristiwa ini hanya boleh berlaku pada waktu siang sahaja dan ketika bulan pada fasa bulan baru (new moon). Terdapat 4 jenis gerhana matahari. Ianya bergantung kepada kepada lintasan bulan di permukaan matahari dan jarak antara bumi-bulan;

1. Gerhana Matahari Penuh (total) : Berlaku apabila bulan meliputi 100% permukaan matahari. Cahaya matahari akan ditutup seratus peratus yang membawa keadaan seperti malam bagi lokasi yang bertuah. Hanya corona matahari yang akan kelihatan ketika totaliti berlaku.


Gerhana matahari penuh
Kredit imej : Luc Viatour

2. Gerhana Matahari Cincin (Annular) : Berlaku apabila jarak bulan terlalu jauh untuk meliputi 100% permukaan matahari. Oleh itu ketika di pertengahan gerhana, kelihatan matahari berbentuk cincin dengan bulan berada di tengahnya.


Gerhana matahari cincin
Kredit imej : www.ast.cam.ac.uk

3. Gerhana Matahari Separa : Berlaku apabila bulan hanya melintasi bahagian tepi cakera matahari. Ianya juga boleh berlaku ketika gerhana matahari cincin atau penuh. Lokasi di bumi yang tidak berada dalam laluan bayang umbra akan melihat gerhana tersebut sebagai gerhana separa. Kita fahami dengan lebih lanjut di bawah.


Gerhana matahari separa
Kredit imej : Aaron Favila/AP Photo

4. Gerhana Matahari Hibrid (annular/total) : Gerhana matahari jenis ini adalah sangat jarang berlaku. Pada satu tempat ianya kelihatan sebagai gerhana matahari penuh dan tempat lain melihatnya sebagai gerhana matahari cincin.


MEMAHAMI GERHANA MATAHARI.


Bayang akan terbentuk apabila sesuatu objek berada di hadapan satu sumber cahaya, contohnya sewaktu kita berada di bawah sinaran lampu jalan raya. Apabila diamati pada bayang tersebut, terdapat dua jenis bayang terbentuk; satu bayang gelap yang digelar umbra, dan satu bayang separa gelap yang digelar penumbra.

Konsep yang sama berlaku apabila bulan melintasi di hadapan matahari (rujuk rajah atas). Kelihatan ada lokasi di bumi yang termasuk dalam bayang umbra dan ada yang termasuk dalam bayang penumbra. Bagi kes di atas, sesiapa yang berada dalam bayang umbra akan melihat gerhana matahari penuh berlaku, manakala sesiapa yang berada dalam bayang penumbra, mereka akan melihat gerhana matahari separa sahaja.

Ketika bulan melintasi di hadapan matahari, jarak bulan dari bumi boleh jadi betul2 tepat untuk membolehkan cakera matahari ditutup secara 100% oleh bulan. Tetapi kadang kala bulan boleh berada lebih jauh dari bumi, yang menyebabkan kita melihat bulan lebih kecil. Maka bulan yang 'kecil' ini hanya menutupi bahagian tengah matahari sahaja, dan membiarkan bahagian luar matahari masih lagi kelihatan sebagai cincin.




Konsepnya mudah sahaja. Sesiapa yang berada dalam bayang umbra, maka akan dapat melihat gerhana matahari penuh. Manakala sesiapa yang berada dalam bayang penumbra akan melihat gerhana matahari separa.

Mengikut rajah di atas, kedudukan bulan-matahari ketika gerhana matahari cincin ialah bulan berada lebih dekat dengan matahari yang menyebabkan bayang umbra yang terhasil akan difokus kepada satu titik yang tidak sampai ke permukaan bumi. Titik fokus umbra ini akan membentuk satu bayang baru iaitu bayang antumbra. Sesiapa yang berada dalam bayang antumbra akan melihat gerhana matahari cincin. Mudah sahaja!


KEKERAPAN GERHANA MATAHARI

Bulan mengorbit bumi dalam bentuk elips, iaitu sama dengan orbit bumi mengelilingi matahari. Oleh kerana bentuk yang lonjong ini, ada ketikanya bulan adalah jauh dari bumi dan bumi pula boleh jadi jauh atau dekat dengan matahari, dan sebaliknya bagi kedua-dua objek.

Bumi berada pada kedudukan terdekat dengan matahari pada bulan Januari yang disebut sebagiperihelion. Oleh itu, bulan Januari cenderung untuk berlaku peristiwa gerhana bulan cincin. Bumi berada paling jauh dari matahari pula pada bulan Julai (aphelion) yang menyebabkan gerhana matahari penuh cenderung berlaku pada bulan tersebut.

Orbit bulan mengelilingi bumi adalah sendeng sebanyak 5 darjah jika dibandingkan dengan orbit bumi (komponen garisan ekliptik) mengelilingi matahari. Disebabkan perbezaan sudut ini, kebiasaannya bulan akan melalui sama ada atas matahari atau di bawahnya pada setiap bulan. Namun orbit bulan dan ekliptik (orbit bumi) boleh bersimpang pada masa2 tertentu yang disebut sebagai titik nod. Ketika inilah gerhana matahari akan berlaku.

Persimpangan garis nod ini boleh berlaku sebanyak 2 kali setahun dengan dibezakan 180 darjah antara satu sama lain (360 darjah bahagi dua). Oleh sebab ini, setiap tahun gerhana matahari biasanya terjadi sebanyak dua kali dengan jarak 6 bulan antara satu sama lain. Tahun ini gerhana matahari akan berlaku pada 15 Januari dan kali ke-dua pada 11 Julai 2010 nanti. Namun kadang kala gerhana boleh jadi sehingga 5 kali dalam masa setahun, seperti yang berlaku pada tahun 1693, 1758, 1823, 1805, 1870 dan 1935.

Gerhana matahari penuh adalah satu peristiwa yang jarang berlaku. Dianggarkan peristiwa ini berlaku dalam tempoh 18 bulan sekali. Namun kawasan yang bernasib baik untuk melihat gerhana matahari penuh ini adalah sangat kecil radiusnya. Oleh itu, gerhana matahari penuh hanya akan berlaku dalam tempoh 370 tahun sekali untuk satu satu tempat.

Tempoh gerhana matahari berlaku pula sangat pendek, iaitu di bawah 7 minit 31 saat. Ini disebabkan oleh peredaran bulan yang sangat laju iaitu lebih 1700 kilimeter per jam. Ditambah pula pergerakan bumi yang sedang mengorbit matahari. Gerhana matahari paling panjang untuk abad ke 21 ini berlaku pada 22 Julai 2009 yang bertahan selama 6 minit 39 saat.

Gerhana matahari berlaku lebih kerap berbanding gerhana bulan. Namun disebabkan oleh gerhana bulan dapat dicerap dari lokasi yang besar berbanding gerhana matahari yang sebaliknya, maka kita lebih berpeluang untuk mengikuti gerhana bulan.


PENUTUP

Mencerap gerhana matahari adalah sedikit sukar jika dibandingkan dengan pencerapan gerhana bulan. Namun, disebabkan oleh peluang untuk melihatnya bukanlah datang selalu, maka pencerapan anda pasti berbaloi dan akan menjadi satu pengalaman yang menarik buat anda jika berjaya dilaksanakan.

Saya masih ingat lagi sewaktu melakukan aktiviti cerapan gerhana matahari separa pada tahun lepas di Planetarium Negara. Pada waktu kemuncak tersebut, tiba2 ada awan meliputi matahari. Saya pada awalnya berasa sedikit kecewa, namun sebenarnya Allah mahu menunjukkan sesuatu yang lebih bernilai. Awan yang datang tersebut telah bertindak sebagai penapis semulajadi kepada cahaya matahari. Ini menyebabkan kami semua dapat melihat kemuncak gerhana matahari menggunakan mata kasar sahaja di dada langit! SubhanAllah! Tidak dapat saya lupakan pengalaman itu.

Artikel kali ini sedikit panjang dan lebih kepada teknikal. Harap anda semua dapat memahaminya sebaik mungkin. Apabila kita memahami bagaimana sesuatu peristiwa itu terjadi, maka kita akan lebih menghargai apa yang sedang berlaku tersebut. Wallahualam.

Jom sertai saya di dataran Planetarium Negara pada hari jumaat ini bermula jam 2 petang hingga 6 petang. Banyak teleskop akan disediakan disamping pelbagai peralatan cerapan lain. Cermin mata solar juga akan diberi secara percuma bagi yang datang awal. Masuk adalah percuma.

Ada sebarang komen, persoalan dan sebagainya dalam kotak fikiran anda? Sila tinggalkan di ruangan komen di bawah. Maklum balas dari anda amatlah saya hargai.


Jom mencerap!

Mohd Rizuan B. Ali,
013-2180412
ibnu_ali_87@yahoo.com
www.astromas2020.blogspot.com

30 March 2008

Mari memperkemas solat

Saf Di Dalam Solat:

Kedudukan, Perintah & Tuntutannya...



Sebaik-baik Saf Dan Keutamaan Saf

Diriwayatkan dari Jabir bin Samirah ia berkata, “Rasulullah bersabda, “Tidakkah kalian ingin berbaris, sebagaimana para malaikat berbaris di hadapan Rabb mereka.” Maka kami bertanya, “Bagaimanakah para malaikat berbaris di hadapan Rabb?’ Beliau menjawab, “Mereka menyempurnakan barisan yang depan dan saling merapat di dalam saf.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 430)

Dari Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Seandainya orang-orang tahu (pahala) yang terdapat di dalam seruan (azan) dan barisan (saf) pertama kemudian mereka tidak mendapatkan cara untuk mencapainya kecuali dengan cara melakukan undian, pasti mereka akan mengadakannya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 615. Muslim, no. 137)

“Sesungguhnya Allah ‘azza wa jalla dan para Malaikat-Nya berselawat ke atas barisan (saf) yang pertama atau saf yang awal.” (Dinilai hasan oleh al-Albani di dalam Sahih at-Targhib wa at-Tarhib, 1/197)

Menyempurnakan Saf Yang Hadapan Dahulu

Dari Anas r.a. bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sempurnakanlah saf pertama, kemudian saf berikutnya. Jika kurang (saf pertama telah penuh/tidak mencukupi), maka hendaklah ia mengambil saf yang belakang.” (Hadis Riwayat an-Nasa’i, 2/93)

Posisi Makmum di Dalam Solat

1 – Kedudukan Saf Secara Umum Bagi Lelaki Dan Wanita.

Dari Abu Hurairah, dia berkata, Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Sebaik-baik saf bagi lelaki adalah yang paling hadapan dan seburuk-buruknya adalah yang paling belakang. Sebaik-baik saf wanita adalah yang paling belakang dan seburuk-buruknya adalah yang paling hadapan.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 440)

1 - Imam (Depan), 2 - Makmum Lelaki (Belakang Imam, Depan Saf Wanita), 3 - Makmum Wanita (Belakang)

2 – Apabila solat berjamaah mengandungi dua orang lelaki, iaitu seorang imam dan seorang makmum.

Apabila imam solat berjamaah hanya dengan seorang makmum, maka dia (makmum) disunnahkan berdiri di sebelah kanan imam (sejajar dengannya), sebagaimana yang dinyatakan oleh Ibnu Abbas r.a. bahawa beliau pernah solat berjamaah bersama Rasulullah pada suatu malam dan berdiri di sebelah kirinya. Maka Rasulullah memegang kepala Ibnu Abbas dari belakang lalu memindahkannya ke sebelah kanannya. (Hadis Riwayat Muslim, No. 763. Bukhari, no. 183)

Maka, kedudukan imam adalah di sebelah kiri makmum, dan makmum di sebelah kanan imam dalam keadaan satu barisan (satu saf) sebelah menyebelah.

1 - Imam (Kiri), 2 - Makmum (Kanan)

3 – Solat dengan dua orang makmum (atau lebih) bersama imam.

Diriwayatkan dari Jabir bin Abdillah al-Anshaari:

“… Rasulullah s.a.w. berdiri untuk menunaikan solat, lalu akupun datang dan berdiri di samping kiri beliau. Rasulullah meraih tanganku lalu memindahkanku ke sebelah kanan beliau. Kemudian datang pula Jabbar bin Shakr r.a., ia berwudhu’ lalu mengikuti solat kami, ia berdiri di samping/sebelah kiri Rasulullah. Beliaupun meraih tangan kami berdua lalu memindahkan kami ke belakang beliau...” (Hadis Riwayat Muslim, no. 3006)

Jika tiga orang makmum atau lebih solat bersama imam, maka mereka berdiri di belakang imam menurut kesepakatan para ulama. Hadis-hadis yang menyebutkan tentang masalah ini terlalu banyak untuk disebutkan satu persatu. Makmum tidak boleh berada di depan imam, kerana tidak sah bermakmum bersama seorang imam kecuali jika imam tersebut berada di depan mereka. Jumhur ulama berpendapat, barangsiapa berada di depan imam maka batal solatnya. Imam Malik, Ishaq, Abu Tsaur dan Daud membolehkannya, jika tempat terlalu sempit. (Rujuk: Sahih Fiqih Sunnah, jil. 2, hal. 239, Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim)


4 – Solat seorang wanita bersama imam lelaki.

Diriwayatkan dari Anas, ia berkata, “Aku solat bersama seorang anak yatim di belakang Nabi s.a.w., dan ibuku (ummu Sulaim) di belakang kami. (Hadis Riwayat Bukhari, no. 727)

Jika seorang lelaki dan seorang wanita solat bersama imam maka lelaki berdiri sejajar di sebelah kanan imam, sementara wanita ber-saf sendirian di belakang keduanya. Diriwayatkan dari Anas, “Bahawa Rasulullah s.a.w. mengimaminya, dan seorang wanita bersama mereka, maka beliau menempatkannya di sebelah kanannya, dan wanita tersebut di belakang mereka.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 269) (Rujuk: Sahih Fiqih Sunnah, jil.2, hal. 240, Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim)

Seorang lelaki boleh menjadi imam solat bagi isterinya atau salah seorang mahramnya. Dan tidak boleh seorang lelaki mengimami seorang wanita asing (bukan mahramnya) seorang diri, berdasarkan keumuman hadis berikut:

“Tidak boleh bagi seorang lelaki berduaan dengan seorang wanita, kerana yang ketiganya adalah syaitan.” (Hadis Riwayat at-Tirmidzi, no. 1171)

Seorang lelaki boleh mengimami sejumlah wanita. Akan tetapi hal ini dibolehkan apabila aman dari fitnah.

1 - Imam (Depan), 2 - Makmum Wanita (Belakang)

1 - Depan - Imam (Kiri), Makmum Lelaki (Kanan), 2 - Belakang & Tengah (Saf Wanita)

5 – Solatnya seorang wanita bersama kaum wanita yang lain.

Diriwayatkan dari Hajirah, dari Ummu Salamah, “Bahawa ia mengimami mereka, dan ia berdiri di tengah-tengah mereka.” (Hadis Riwayat Abdurrazzaq, 3/140) Jika seorang wanita solat mengimami jamaah kaum wanita, maka ia berdiri di tengah-tengah mereka dalam keadaan satu barisan (saf) bersama yang lainnya. Hendaklah ia tidak maju (mengambil posisi ke hadapan).

6 – Posisi kanak-kanak dalam saf solat berjemaah.

Diriwayatkan dari Anas, ia berkata, “Aku solat bersama seorang anak yatim di belakang Nabi s.a.w., dan ibuku (ummu Sulaim) di belakang kami. (Hadis Riwayat Bukhari, no. 727)

Menurut Sheikh al-Albani:

Tidak mengapa anak-anak berdiri di saf kaum lelaki dewasa, jika saf tersebut masih ada ruang. Dan solatnya kanak-kanak lelaki yatim bersama Anas di belakang Rasulullah s.a.w. adalah hujjah dalam masalah ini. (Rujuk: Tamam al-Minah, hal. 282) (Dinukil dari Sahih Fiqih Sunnah, jil.2, hal. 241-242, Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim)

7 – Solat di samping (sebelah) imam kerana saf sudah penuh.

Barangsiapa memasuki masjid dan ia mendapati masjid sudah penuh dan saf-saf sudah sempurna, maka dia boleh membelah saf dan berdiri di samping imam. Ini adalah sebagaimana yang dilakukan Rasulullah s.a.w. di ketika beliau sakit. Daripada Aisyah r.ha, dia menyatakan, “Nabi s.a.w. dalam sakitnya yang mengakibatkan beliau wafat, ketika merasa lebih baik, beliau keluar dan mendapatkan Abu Bakar sedang solat bersama yang lain. Ketika Abu Bakar melihat beliau, ia ingin mundur, maka beliau (Nabi s.a.w.) mengisyaratkan kepadanya agar tetap di posisinya/tempatnya semula. Lalu Rasulullah s.a.w. dipapah oleh dua orang sehingga beliau duduk sejajar di sebelah kiri Abu Bakar r.a.. Maka, Abu Bakar mengikuti solat Rasulullah s.a.w., sedangkan orang-orang mengikuti solat Abu Bakar.” (Hadis Riwayat Muslim, no. 418)

Dalam suatu penjelasan yang lain berkenaan kisah kepergian Nabi s.a.w. ke Bani ‘Amr bin ‘Auf untuk mendamaikan di antara mereka dan solat Abu Bakar bersama manusia, disebutkan, “...Rasulullah s.a.w. datang, sementara orang-orang sedang mengerjakan solat, maka beliau masuk hingga dalam saf...” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 684) Dalam riwayat yang lain, “Beliau membelah saf-saf hingga berdiri di saf yang paling depan.” (Rujuk: Sahih Fiqih Sunnah, jil.2, hal. 239-240, Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim)

Perintah Dan Tuntutan Merapatkan Saf

Persoalan menjaga saf dan merapatkan saf di dalam solat adalah merupakan suatu permasalahan yang kian terabai. Ramai dari kalangan masyarakat hari ini, mengambil mudah dalam hal ini sebagaimana yang banyak berlaku di masjid-masjid sekeliling kita. Saf-saf solat mereka kelihatan renggang, tidak sekata, dan lebih mengecewakan adalah apabila para imam sendiri tidak ambil endah berkenaan hal ini. Sedangkan jika dilihat kepada hadis-hadis Rasulullah s.a.w. dan atsar para sahabat, dalam persoalan merapatkan saf ini, sungguh betapa dititik beratkan kesempurnaannya, dan malah jika gagal menyempurnakannya, ada pula hadis-hadis yang berbentuk ancaman.

Meluruskan dan merapatkan saf (barisan) dalam solat berjamaah adalah merupakan suatu hal yang sangat diperintahkan (dituntut), sebagaimana di dalam hadis Nabi s.a.w., (maksudnya), “Luruskan saf-mu, kerana sesungguhnya meluruskan saf itu merupakan sebahagian dari kesempurnaan solat”. (Hadis Riwayat Muslim, no. 433) Dalam Riwayat yang lain, “Sesungguhnya meluruskan saf itu merupakan sebahagian dari mendirikan solat.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 722. Muslim, no. 435) “Sesungguhnya menegakkan saf (meratakan saf), adalah sebahagian dari kebaikan solat.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 723)

Hadis tersebut dan hadis-hadis lain yang seumpamanya, kata lbnu Hazm, merupakan dalil wajibnya merapikan saf sebelum dan sepanjang melaksanakan solat. Kerana menyempurnakan solat itu wajib, sedang kesempurnaan saf merupakan sebahagian dari kesempurnaan solat, maka merapikan saf merupakan kewajiban. Juga lafaz ‘amr (perintah) dalam hadis di atas menunjukkan wajib. Selain itu, Rasulullah s.a.w. setiap kali akan memulakan solat (berjemaah), selalu menghadap kepada jamaah dan memerintahkan untuk meluruskan saf, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik r.a.

Umar bin Khaththab r.a. pernah memukul Abu Utsman al-Nahdi kerana keluar dari barisan solatnya. Juga Bilal pernah melakukan hal yang sama, seperti yang dikatakan oleh Suwaid bin Ghaflah bahawa Umar dan Bilal pernah memukul bahu kami dan mereka tidak akan memukul orang lain, kecuali kerana meninggalkan sesuatu yang diwajibkan. (Rujuk Fathul Bari, 2/447). Anas r.a. ketika tiba di kota Madinah ditanya, “Apa yang engkau ingkari dari perbuatan kami sejak sepeninggalan Rasulullah?” Dia menjawab, “Tidak ada perbuatan kalian yang aku ingkari kecuali ketika kalian tidak meluruskan saf-saf kalian.” (Diriwayatkan oleh Bukhari di dalam Sahihnya, no. 724)

Bahkan Rasulullah s.a.w. sebelum memulakan solat, beliau berjalan merapikan saf dan memegang dada dan bahu para sahabat lalu bersabda, “Hendaklah kalian meluruskan saf-saf kalian atau Allah akan membalikkan wajah-wajah kalian.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 717, Muslim, no. 436)

Di dalam riwayat Abu Hurairah r.a.. dia berkata, “Rasulullah biasa masuk memeriksa ke saf-saf bermula dari satu hujung (sisi) ke hujung yang lain, memegang dada dan bahu kami seraya bersabda, “Jangan lah kalian berbeza (tidak lurus safnya), kerana akan menjadikan hati kalian berselisih.” (Hadis Riwayat Muslim)

Dalam hadis yang lain yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dari an-Nu’man bin Basyir: beliau berkata, “Dahulu Rasullullah meluruskan saf kami sehingga sampai seperti meluruskan anak panah hingga beliau memandang kami telah faham apa yang beliau perintahkan kepada kami (sehingga saf kami telah rapi – pent.), kemudian suatu hari beliau keluar (untuk solat) kemudian beliau berdiri, hingga ketika beliau akan bertakbir, beliau melihat seseorang yang dadanya terkehadapan, maka beliau bersabda:

“Wahai para hamba Allah, hendaklah kalian benar-benar meluruskan saf atau Allah akan memperselisihkan wajah-wajah kalian”. (Diriwayatkan oleh Muslim, no. 436)

Sedangkan hadis yang diriwayatkan dari Anas r.a., Beliau bersabda, “Luruskan dan rapatkan saf-saf kalian, kerana sesungguhnya aku melihat kalian dari balik punggungku.” (Diriwayatkan oleh Abu Ya’la di dalam al-Musnad, no. 3720, al-Mukhlis di dalam al-Fawaid (1/10/2), Sa’id ibn Manshur di dalam al-Sunan, dan al-Ismaili sebagaimana di dalam Fathul Bari (2/211). Sanad hadis ini adalah sahih menurut syarat al-Bukhari dan Muslim seperti disebutkan di dalam al-Silsilah as-Sahihah)

Imam al-Qurthubi berkata, “Yang dimaksudkan dengan perselisihan hati pada hadis di atas adalah bahawa ketika seseorang tidak lurus di dalam safnya dengan berdiri ke depan atau ke belakang, menunjukkan kesombongan di dalam hatinya yang tidak mahu diatur. Yang demikian itu, akan merosakkan hati dan memungkinkan menimbulkan perpecahan.” (Rujuk: Fathul Bari 2/443) Pendapat ini juga didukung oleh Imam al-Nawawi, beliau berkata, “Berbeza hati maksudnya, terjadi di antara mereka kebencian dan permusuhan serta pertentangan hati. Perbezaan ketika ber-saf merupakan perbezaan zahir dan perbezaan zahir adalah wujud dari perbezaan batin iaitu hati.”

Sementara Qadhi Iyyadh menafsirkannya dengan mengatakan “Allah akan mengubah hati mereka secara fizikal, sebagaimana di dalam riwayat lain (Allah akan mengubah wajah mereka)”. Hal itu merupakan ancaman yang berat dari Allah. Sebagaimana Dia mengancam orang yang mengangkat kepalanya sebelum imam (i’tidal), maka Allah akan mengubah wajahnya menjadi wajah keldai. Imam al-Kirmani menyimpulkan, “Akibat dari pertentangan dan perbezaan di dalam saf, boleh menimbulkan perubahan anggota atau tujuan atau juga perbezaan balasan dengan memberikan balasan yang sempurna bagi mereka yang meluruskan saf dan memberikan balasan keburukan bagi mereka yang tidak meluruskan safnya.”

Berdiri di dalam saf bukan hanya sekadar berbaris lurus, tetapi juga dengan merapatkan kaki dan bahu antara satu dengan yang lainnya seperti yang dilakukan oleh para sahabat. Dari Ibnu Umar r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda, “Rapatkanlah saf, dekatkan (jarak) antara saf-saf itu dan ratakan bahu-bahu.” (Hadis Riwayat Abu Daud dan an-Nasai, disahihkan oleh Ibnu Hibban)

Di dalam riwayat lain, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Demi jiwaku yang ada di tangan-Nya, aku melihat syaitan masuk di celah-celah saf, sebagaimana masuknya anak kambing.” (Diriwayatkan oleh Abu Daud, no. 666. an-Nasa’i, 2/93. Ahmad, 2/97)

Bahkan sehingga ada sebahagian ulama yang mewajibkan hal itu, sebagaimana perkataan Sheikh al-Albani rahimahullah dalam mengulas sabda Nabi s.a.w. “...atau Allah akan memperselisihkan wajah-wajah kalian,” dengan menyatakan, “Sesungguhnya ancaman seperti ini tidak boleh dikatakan termasuk perkara yang tidak diwajibkan, sebagaimana tidak samar lagi.” Akan tetapi sungguh amat sangat disayangkan, sunnah meluruskan dan merapatkan saf ini telah diremehkan bahkan dilupakan kecuali oleh segelintir kaum muslimin.

Berkata Sheikh Masyhur Hasan Salman (Rujuk: Majalah FATAWA, vol. 3/no.11, November 2007/Dzulqae’dah 1428):

Apabila jamaah solat tidak melaksanakan sebagaimana yang dilakukan oleh Anas dan al-Nu’man maka akan selalu ada celah dan ketidaksempurnaan dalam saf. Dan pada kenyataannya (kebanyakannya) para jemaah solat apabila mereka merapatkan saf maka akan luaslah saf (menampung banyak jemaah) khususnya saf pertama kemudian yang kedua dan yang ketiga. Apabila mereka tidak melakukannya, maka:

Pertama: Mereka terjerumus dalam larangan syar’i, iaitu tidak meluruskan dan meluruskan saf.

Kedua: Mereka menyediakan celah untuk syaitan dan Allah akan memutuskan mereka, sebagaimana hadis dari Umar bin Khaththab r.a. bahawasanya Nabi s.a.w. bersabda, “Tegakkan saf-saf kalian dan rapatkan bahu-bahu kalian dan tutuplah celah-celah dan jangan kalian tinggalkan celah untuk syaitan, barangsiapa yang menyambung saf nescaya Allah akan menyambungnya dan barangsiapa memutuskan saf nescaya Allah akan memutuskannya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, disahihkan oleh Ibnu Khuzaimah dan al-Hakim) “Dan barangsiapa memutuskan saf (tidak merapatkan atau memenuhkan saf), maka Allah akan memutuskan hubungan dengan-Nya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 785)

Ketiga: Terjadi perselisihan dalam hati-hati mereka dan timbul banyak pertentangan di antara mereka, sebagaimana dalam hadis an-Nu’man terdapat faedah yang menjadi terkenal dalam ilmu jiwa, iaitu sesungguhnya rosaknya zahir mempengaruhi rosaknya batin dan begitu jugalah sebaliknya. Di samping itu bahawa sunnah meluruskan dan merapatkan saf menunjukkan rasa persaudaraan dan saling tolong-menolong, sehingga bahu si miskin menempel dengan bahu si kaya dan kaki orang lemah merapat dengan kaki orang kuat, semuanya dalam satu barisan seperti bangunan yang kuat, saling menopang satu sama lainnya.

Keempat: Mereka kehilangan pahala yang besar yang dikhabarkan melalui hadis-hadis yang sahih, di antaranya sabda Nabi s.a.w., “Sesungguhnya Allah dan para malaikatnya berselawat kepada orang yang menyambung saf.” (Hadis Riwayat Ahmad, Ibnu Majah, Ibnu Khuzaimah dan al-Hakim. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Kitabnya Sahih at-Targhib wa at-Tarhib, 1/335)

Cara-Cara Merapatkan Saf Yang Betul

1 – Merapatkan bahu dengan bahu, lutut dengan lutut, dan mata kaki dengan mata kaki sebagaimana hadis berikut:

“Dari Nu’man bin Basyir r.a. berkata: Aku melihat seseorang merapatkan bahunya dengan bahu saudaranya, merapatkan (melekatkan) lututnya dengan lutut saudaranya dan mendekatkan mata kakinya dengan mata kaki saudaranya.” (Hadis Riwayat Bukhari, Kitab Azan, no. 76. Abu Daud, no. 616)

2 – Meratakan/meluruskan telapak kaki dengan talapak kaki saudaranya dan meluruskan telapak kaki ke arah kiblat.

“Dari Anas bin Malik r.a. berkata, “(Pada waktu solat) masing-masing dari kami meratakan bahunya dengan bahu saudaranya dan telapak kakinya dengan telapak kaki saudaranya.” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 725)

“Baginda menghadapkan hujung-hujung kedua-dua jari-jemari kaki baginda ke arah Kiblat”. (Hadis Riwayat Bukhari dan Abu Daud) Baginda s.a.w. mengarahkan jari jemari kakinya ke arah kiblat. (Rujuk: Tuntutan Rasulullah Dalam Ibadah, hlm. 19. Ibn Qaiyyim al-Jauziyah – Dinukil dari buku: Solatlah Sebagaimana Rasulullah s.a.w. Solat, Oleh Ustaz Rasul Dahri)


Betul - Kaki diluruskan ke arah hadapan (Kiblat)

Salah - Kaki tidak lurus ke hadapan

3 – Menutup ruang/celahan di antara saf.

Dari Ibnu Umar bahawa Rasulullah s.a.w. bersabda:

“Tegakkanlah saf-saf, sejajarkanlah bahu-bahu kalian, tutupkanlah celah-celah, dan lembutkanlah diri kalian untuk disentuh tangan-tangan saudara kalian. Jangan biarkan celah-celah untuk dimasuki syaitan. Barangsiapa yang menyambung saf, maka Allah menyambungnya dan barangsiapa yang memutuskan saf, maka Allah memutuskannya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 666. an-Nasa’i, 2/93. Ahmad, 2/97. Juga dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Abi Daud, 1/197) Di dalam riwayat lain, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Demi jiwaku yang ada di tangan-Nya, aku melihat syaitan masuk di celah-celah saf, sebagaimana masuknya anak kambing.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 667. Dinilai Sahih oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan Abi Daud, 1/198)

4 – Meletakkan posisi badan dalam keadaan yang baik/betul.

Dari an-Nu’man bin Basyir: beliau berkata, “Dahulu Rasullullah meluruskan saf kami sehingga sampai seperti meluruskan anak panah hingga beliau memandang kami telah faham apa yang beliau perintahkan kepada kami (sehingga saf kami telah rapi – pent.), kemudian suatu hari beliau keluar (untuk solat) kemudian beliau berdiri, hingga ketika beliau akan bertakbir, beliau melihat seseorang yang dadanya terkehadapan, maka beliau bersabda:

“Wahai para hamba Allah, hendaklah kalian benar-benar meluruskan saf atau Allah akan memperselisihkan wajah-wajah kalian”. (Diriwayatkan oleh Muslim, no. 436)

Keudukan/susunan Saf Yang Betul Dan Rapi

Kedukan/Susunan Saf Yang Salah yang mana banyak terjadi di sekeliling kita Masa ini

Larangan Membuat Saf Sendirian

Seorang makmum dilarang membuat saf sendirian, berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh Wabishah bin Mi’bad, bahawa Rasulullah s.a.w. melihat seseorang solat di belakang saf sendirian, maka beliau memerintahkan untuk mengulang solatnya. (Hadis Riwayat Ahmad, Abu Daud, at-Tirmidzi. Disahihkan oleh al-Albani di dalam Sahih Sunan Abi Daud, 1/299 dan Irwaa’ul Ghalil, no. 541)

Menurut Sheikh Muhammad bin Soleh al-Utsaimin (rujuk: asy-Syarhul Mumti’, 4/376-385), jika seseorang menjumpai saf yang sudah penuh, sementara ia sendirian dan tidak ada yang ditunggu, maka boleh baginya solat sendiri di belakang saf itu.

Untuk menjaga keutuhan, seseorang dibolehkan untuk maju atau bergerak ke hadapan ketika mana mendapati ada saf di hadapannya yang terputus. Sabda Nabi s.a.w. yang diriwayatkan oleh Abu Juhaifah, beliau bersabda, “Barangsiapa yang memenuhi celah yang ada pada saf maka Allah akan mengampuni dosanya.” (Hadis Riwayat al-Bazzar dengan sanad yang hasan)

Tiada langkah paling baik melebihi yang dilakukan oleh seseorang untuk menutupi celah di dalam saf. Dan semakin banyak teman dan saf dalam solat berjamaah akan semakin afdhal, sebegaimana yang diriwayatkan oleh Ubay bin Ka’ab, Rasulullah s.a.w. bersabda, “Solat seorang bersama seseorang lebih baik daripada solat sendirian, dan solat bersama dua orang lebih baik dari solat bersama seseorang. Dan bila lebih banyak maka yang demikian lebih disukai oleh Allah ‘Azza wa Jalla.” (Muttafaq ‘Alaih)

Terpisahnya Makmum Dengan Imam Kerana Dinding

Diriwayatkan dari Aisyah, dia berkata, “Rasulullah s.a.w. solat pada malam hari di kamarnya. Sementara dinding kamar itu pendek, sehingga orang-orang dapat melihat Nabi s.a.w., maka sejumlah orang berdiri mengikuti solatnya...” (Hadis Riwayat Bukhari, no. 729)

Memasuki Saf Dalam Keadaan Tenang

Dan ketika memasuki saf untuk solat disunnahkan untuk melakukannya dengan tenang iaitu tidak terburu-buru, sebagaimana yang diriwayatkan oleh Abi Bakrah, bahawasanya ia solat dan mendapati Nabi sedang ruku’ lalu dia ikut ruku’ sebelum sampai kepada saf, maka Nabi berkata kepadanya, “Semoga Allah menambahkan kepadamu semangat (kemahuan), tetapi jangan kamu ulangi lagi.” (Hadis Diriwayatkan oleh Bukhari) Dan dalam Riwayat Abu Daud, ada tambahan, “Ia ruku’ sebelum sampai di saf lalu dia berjalan menuju saf.”


Rujukan/Disusun Daripada:

1 – Majalah FATAWA, vol. 3/no.11, November 2007/Dzulqa’dah 1428.
2 – Kertas Kerja: Merapatkan, Meluruskan, & Meratakan Saf Dalam Solat, Oleh Ustaz Rasul bin Dahri.
3 – Solatlah Sebagaimana Rasulullah s.a.w. Solat, Oleh Ustaz Rasul Dahri.
4 - Shahih Fiqih Sunnah, Jilid 2, Oleh Sheikh Abu Malik Kamal as-Sayyid Salim.
5 – Ensiklopedi Shalat Menurut al-Qur’an dan as-Sunnah, Jilid 2, oleh Dr. Sa’id ‘Ali bin Wahf al-Qahthani.

Sumber: fiqh-sunnah.blogspot.com

EXCO BARU ASRAMA 2010/11

EXCO BARU ASRAMA 2010/11

Membeli Sambil Menderma!

Membeli Sambil Menderma!

Template by:
Free Blog Templates