15 January 2010

SOLAT SUNAT GERHANA MATAHARI (KUSUF

oleh ustaz Azhar Idrus@http://ustazazhar.com/v1/lain-lain/solat-sunat-gerhana.htm


Solat Sunat Gerhana atau juga dikenali sebagai solat sunat Kusuf atau Solat Khusuf merupakan solat yang didirikan sewaktu terjadi gerhana bulan atau matahari.Solat sunat gerhana matahari dalam istilah arabnya : Solat Sunat Kusuf. Solat sunat gerhana bulan dalam istilah arabnya : Solat Sunat Khusuf.



Kusuf dari segi bahasa bermaksud terlindungnya cahaya matahari samada terlindungnya itu dalam bentuk juzu'nya atau keseluruhannya. Khusuf pula mutlak digunakan untuk lindungan cahaya bulan secara juzu' atau pun keseluruhannya. Ramai ulama' yang menyatakan bahawa kedua-dua kalimah itu boleh digunakan untuk kedua-duanya sekali samada gerhana bulan atau pun matahari.



Hukum Solat Gerhana Matahari



Hukumnya adalah sunat muakkadah atau pun sunat yang digalakkan.



Ini berdasarkan daripada hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim yang bermakna : Sesungguhnya matahari dan bulan merupakan dua tanda daripada tanda-tanda (kebesaran) Allah tidak berlaku gerhana pada kedua-duanya kerana kematiaan seseorang dan tidak pula kerana kelahirannya. Maka apabila kamu melihat perkara itu maka sembahyanglah dan berdoalah sehingga kembali terang(hilang gerhana) apa dengan kamu.



Hadis ini keluar daripada mulut Rasulullah s.a.w pada hari kematian anak lelakinya Ibrahim di mana ramai orang mendakwa bahawa kematian Ibrahim inilah yang menyebabkan matahari bersedih sehingga berlakunya gerhana. Mengikut kepercayaan mereka ketika jahiliah di mana apabila berlakunya gerhana matahari atau pun bulan maka mereka beranggapan bahawa berlakunya sesuatu gerhana disebabkan kematian seseorang yang besar dan mulia.



Rasulullah s.a.w telah menyangkal kefahaman karut ini lalu bersabda sebagaimana tersebut. Begitulah juga dengan kebanyakan kita hari ini yang mana mereka bukan bersegera untuk solat gerhana apabila berlakunya sesuatu gerhana tetapi sebaliknya mencari sesuatu untuk memukul pangkal-pangkal pokok buahan supaya berbuah lebat. Perkara ini jika melibatkan kepercayaan yang berlawan dengan kekuasaan Allah dalam membuat sesuatu boleh membawa kepada syirik.



Cara Solat Sunat Gerhana


Solat gerhana ini disunatkan untuk ditunaikan secara berjemaah dengan diseru sebelum mendirikannya : as-Solatu Jaami'ah!! (Solat berjemaah )



Niatnya : "Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat mengikut imam kerana Allah Ta'ala" - (Jika berimam) ataupun "Sahaja aku solat sunat gerhana matahari dua rakaat kerana Allah Ta'ala" - (Jika solat seorang diri)



Solat gerhana ini boleh dilakukan secara berseorang atau secara berjemaah dan sebaiknya dilakukan secara berjemaah. Solat Gerhana mengandungi 2 rakaat, 4 al-Fatihah, 4 rukuk, dan 4 sujud. Iaitu seperti berikut :



Rakaat pertama


1. Niat solat Gerhana, Takbir


2. Baca Surah Al-Fatihah dan surah


3. Rukuk


4. I'tidal


5. Baca Al-Fatihah dan surah


6. Rukuk.


7. I'tidal.


8. Sujud dan seterusnya seperti solat biasa.


Rakaat kedua


1. Niat solat Gerhana, Takbir.


2. Baca Al-Fatihah dan surah.


3. Rukuk.


4. I'tidal,


5. Baca Al-Fatihah dan surah.


6. Rukuk.


7. I'tidal.


8. Sujud


9. Tahiyyat Akhir

Jom Mencerap Gerhana Matahari Separa 15 Januari 2010!



Gerhana Matahari Cincin (annular)


Seronok ketika melihat gerhana bulan separa yang lepas? Sangat bertuah bagi siapa yang berkesempatan untuk melihatnya. Namun ada juga yang tidak bernasib baik oleh kerana pelbagai sebab. Ada yang tertidur, hujan dan mendung, dan ada juga yang takut akan hantu untuk keluar pada waktu malam, dan bermacam2 alasan lagi.hehe Apapun yang berlaku pada 1hb Januari tersebut, sekarang mari kita tumpukan perhatian kepada peristiwa gerhana matahari separa yang akan berlaku pada 15hb Januari 2010 ini.

Pada 15hb Januari ini, peristiwa gerhana matahari cincin (annular) akan berlaku yang meliputi laluan sejauh 300km merentas tengah Afrika, lautan Hindi dan kawasan Asia Tenggara. Ketika itu, bulan akan melintas di hadapan matahari, menyebabkan tidak sampai 100% dari permukaan matahari akan ditutup oleh bulan. Oleh hal ini, gerhana yang terbentuk akan berupa seakan cincin.

Namun di Asia, gerhana cincin hanya dapat dilihat di India, Myanmar dan seterusnya di negara China. Negara lain di Asia termasuklah Malaysia hanya akan termasuk ke dalam bayang penumbra bulan yang akan menyebabkan kelihatan gerhana matahari separa sahaja.


GERHANA MATAHARI SEPARA 15 JANUARI 2010

Pada 15hb ini, peristiwa gerhana matahari separa akan akan dapat dicerap di Malaysia. Waktu cerapan ialah sekitar jam 3.00 petang, pertengahan gerhana pada 4.30 petang dan berakhir sekitar jam 5.30 petang. Kali ini, bulan akan menutupi sehingga 35 peratus dari permukaan matahari yang akan menyebabkan matahari kelihatan seperti bulat sabit.

Waktu dan peratusan permukaan matahari yang ditutup oleh bulan adalah berbeza mengikut tempat di Malaysia. Saya senaraikan jumlah peratusan bagi bandar2 utama. Nampaknya orang di Utara paling beruntung. Hehe...

Kangar : 39.1%
Alor Setar : 38%
Georgetown : 36.3%
Kota Bharu : 34.5%
Ipoh : 33.2%
Kuala Terengganu : 31.1%
Shah Alam : 28.8%
Kuala Lumpur : 28.3%
Seremban : 27.3%
Kuantan : 27.2%
Melaka : 25.6%
Johor Bharu : 21.5%
Kota Kinabalu : 13.5%
Kuching : 12.2%

Sila klik jadual di bawah untuk perincian waktu gerhana mengikut tempat.




CARA MENCERAP GERHANA MATAHARI SEPARA

Untuk mencerap gerhana matahari, anda dilarang sama sekali untuk melihat matahari menggunakan mata kasar sahaja. Walaupun ada yang akan kata matanya halus atau apa pun alasannya, anda tetap dan wajib menggunakan teknik tertentu untuk mengikuti gerhana ini demi keselamatan mata anda. Antaranya ialah ;

1. Projeksi Lubang Pin Dengan Kad Board

Buat satu lubang menggunakan pin pada kad board. Kemudian benarkan cahaya matahari melalui lubang kad tersebut dan seterusnya cahaya itu jatuh pada satu kertas putih. Cahaya yang berbentuk bulat itu akan menyerupai cakera matahari yang sedang ditutup secara perlahan2 oleh bulan. Klik di sini untuk gambar rajah.

2. Projeksi Lubang Pin Dengan Kotak Panjang

Konsepnya sama dengan cara di atas, cuma ianya menggunakan kotak panjang yang mempunyai satu tetingkap untuk melihat imej gerhana. Klik di sini untuk gambar rajah.

3. Bayang Dari Pokok atau Objek Yang Berlubang

Ketika gerhana terjadi, perhatikan pada cahaya matahari yang terhasil pada bayang pokok. Anda juga boleh gunakan sebarang objek seperti senduk yang berlubang.




4. Menggunakan Cermin Mata Gerhana Khas

Kredit imej : ANGKASA

Anda adalah dilarang sama sekali menggunakan cermin mata hitam biasa, polaroid, negatif filem, filem xray, atau sebarang penapis lain yang tidak diiktiraf. Saya percaya ramai yang akan degil dengan menggunakan peralatan yang saya sebutkan tadi, malah kadang kala saya juga turut berbuat begitu.hehe.

Namun ingin saya ingatkan di sini jika anda berdegil, mata anda akan mengalamai kerosakan secara perlahan2 oleh kerana mata tidak mempunyai deria sakit. Risiko untuk katarak juga meningkat.

5. Menggunakan Teleskop Dengan Penapis Khas.


Kredit imej : ANGKASA

Teleskop yang dilengkapi penapis khas seperti mylar sahaja boleh digunakan untuk mencerap gerhana matahari. Teleskop tanpa penapis boleh membawa padah yang membinasakan mata anda.

6. Menggunakan Projeksi Binokular


Kredit imej : Society for Popular Astronomy




JENIS-JENIS GERHANA MATAHARI

Gerhana matahari berlaku apabila bulan melintasi di hadapan cakera matahari. Peristiwa ini hanya boleh berlaku pada waktu siang sahaja dan ketika bulan pada fasa bulan baru (new moon). Terdapat 4 jenis gerhana matahari. Ianya bergantung kepada kepada lintasan bulan di permukaan matahari dan jarak antara bumi-bulan;

1. Gerhana Matahari Penuh (total) : Berlaku apabila bulan meliputi 100% permukaan matahari. Cahaya matahari akan ditutup seratus peratus yang membawa keadaan seperti malam bagi lokasi yang bertuah. Hanya corona matahari yang akan kelihatan ketika totaliti berlaku.


Gerhana matahari penuh
Kredit imej : Luc Viatour

2. Gerhana Matahari Cincin (Annular) : Berlaku apabila jarak bulan terlalu jauh untuk meliputi 100% permukaan matahari. Oleh itu ketika di pertengahan gerhana, kelihatan matahari berbentuk cincin dengan bulan berada di tengahnya.


Gerhana matahari cincin
Kredit imej : www.ast.cam.ac.uk

3. Gerhana Matahari Separa : Berlaku apabila bulan hanya melintasi bahagian tepi cakera matahari. Ianya juga boleh berlaku ketika gerhana matahari cincin atau penuh. Lokasi di bumi yang tidak berada dalam laluan bayang umbra akan melihat gerhana tersebut sebagai gerhana separa. Kita fahami dengan lebih lanjut di bawah.


Gerhana matahari separa
Kredit imej : Aaron Favila/AP Photo

4. Gerhana Matahari Hibrid (annular/total) : Gerhana matahari jenis ini adalah sangat jarang berlaku. Pada satu tempat ianya kelihatan sebagai gerhana matahari penuh dan tempat lain melihatnya sebagai gerhana matahari cincin.


MEMAHAMI GERHANA MATAHARI.


Bayang akan terbentuk apabila sesuatu objek berada di hadapan satu sumber cahaya, contohnya sewaktu kita berada di bawah sinaran lampu jalan raya. Apabila diamati pada bayang tersebut, terdapat dua jenis bayang terbentuk; satu bayang gelap yang digelar umbra, dan satu bayang separa gelap yang digelar penumbra.

Konsep yang sama berlaku apabila bulan melintasi di hadapan matahari (rujuk rajah atas). Kelihatan ada lokasi di bumi yang termasuk dalam bayang umbra dan ada yang termasuk dalam bayang penumbra. Bagi kes di atas, sesiapa yang berada dalam bayang umbra akan melihat gerhana matahari penuh berlaku, manakala sesiapa yang berada dalam bayang penumbra, mereka akan melihat gerhana matahari separa sahaja.

Ketika bulan melintasi di hadapan matahari, jarak bulan dari bumi boleh jadi betul2 tepat untuk membolehkan cakera matahari ditutup secara 100% oleh bulan. Tetapi kadang kala bulan boleh berada lebih jauh dari bumi, yang menyebabkan kita melihat bulan lebih kecil. Maka bulan yang 'kecil' ini hanya menutupi bahagian tengah matahari sahaja, dan membiarkan bahagian luar matahari masih lagi kelihatan sebagai cincin.




Konsepnya mudah sahaja. Sesiapa yang berada dalam bayang umbra, maka akan dapat melihat gerhana matahari penuh. Manakala sesiapa yang berada dalam bayang penumbra akan melihat gerhana matahari separa.

Mengikut rajah di atas, kedudukan bulan-matahari ketika gerhana matahari cincin ialah bulan berada lebih dekat dengan matahari yang menyebabkan bayang umbra yang terhasil akan difokus kepada satu titik yang tidak sampai ke permukaan bumi. Titik fokus umbra ini akan membentuk satu bayang baru iaitu bayang antumbra. Sesiapa yang berada dalam bayang antumbra akan melihat gerhana matahari cincin. Mudah sahaja!


KEKERAPAN GERHANA MATAHARI

Bulan mengorbit bumi dalam bentuk elips, iaitu sama dengan orbit bumi mengelilingi matahari. Oleh kerana bentuk yang lonjong ini, ada ketikanya bulan adalah jauh dari bumi dan bumi pula boleh jadi jauh atau dekat dengan matahari, dan sebaliknya bagi kedua-dua objek.

Bumi berada pada kedudukan terdekat dengan matahari pada bulan Januari yang disebut sebagiperihelion. Oleh itu, bulan Januari cenderung untuk berlaku peristiwa gerhana bulan cincin. Bumi berada paling jauh dari matahari pula pada bulan Julai (aphelion) yang menyebabkan gerhana matahari penuh cenderung berlaku pada bulan tersebut.

Orbit bulan mengelilingi bumi adalah sendeng sebanyak 5 darjah jika dibandingkan dengan orbit bumi (komponen garisan ekliptik) mengelilingi matahari. Disebabkan perbezaan sudut ini, kebiasaannya bulan akan melalui sama ada atas matahari atau di bawahnya pada setiap bulan. Namun orbit bulan dan ekliptik (orbit bumi) boleh bersimpang pada masa2 tertentu yang disebut sebagai titik nod. Ketika inilah gerhana matahari akan berlaku.

Persimpangan garis nod ini boleh berlaku sebanyak 2 kali setahun dengan dibezakan 180 darjah antara satu sama lain (360 darjah bahagi dua). Oleh sebab ini, setiap tahun gerhana matahari biasanya terjadi sebanyak dua kali dengan jarak 6 bulan antara satu sama lain. Tahun ini gerhana matahari akan berlaku pada 15 Januari dan kali ke-dua pada 11 Julai 2010 nanti. Namun kadang kala gerhana boleh jadi sehingga 5 kali dalam masa setahun, seperti yang berlaku pada tahun 1693, 1758, 1823, 1805, 1870 dan 1935.

Gerhana matahari penuh adalah satu peristiwa yang jarang berlaku. Dianggarkan peristiwa ini berlaku dalam tempoh 18 bulan sekali. Namun kawasan yang bernasib baik untuk melihat gerhana matahari penuh ini adalah sangat kecil radiusnya. Oleh itu, gerhana matahari penuh hanya akan berlaku dalam tempoh 370 tahun sekali untuk satu satu tempat.

Tempoh gerhana matahari berlaku pula sangat pendek, iaitu di bawah 7 minit 31 saat. Ini disebabkan oleh peredaran bulan yang sangat laju iaitu lebih 1700 kilimeter per jam. Ditambah pula pergerakan bumi yang sedang mengorbit matahari. Gerhana matahari paling panjang untuk abad ke 21 ini berlaku pada 22 Julai 2009 yang bertahan selama 6 minit 39 saat.

Gerhana matahari berlaku lebih kerap berbanding gerhana bulan. Namun disebabkan oleh gerhana bulan dapat dicerap dari lokasi yang besar berbanding gerhana matahari yang sebaliknya, maka kita lebih berpeluang untuk mengikuti gerhana bulan.


PENUTUP

Mencerap gerhana matahari adalah sedikit sukar jika dibandingkan dengan pencerapan gerhana bulan. Namun, disebabkan oleh peluang untuk melihatnya bukanlah datang selalu, maka pencerapan anda pasti berbaloi dan akan menjadi satu pengalaman yang menarik buat anda jika berjaya dilaksanakan.

Saya masih ingat lagi sewaktu melakukan aktiviti cerapan gerhana matahari separa pada tahun lepas di Planetarium Negara. Pada waktu kemuncak tersebut, tiba2 ada awan meliputi matahari. Saya pada awalnya berasa sedikit kecewa, namun sebenarnya Allah mahu menunjukkan sesuatu yang lebih bernilai. Awan yang datang tersebut telah bertindak sebagai penapis semulajadi kepada cahaya matahari. Ini menyebabkan kami semua dapat melihat kemuncak gerhana matahari menggunakan mata kasar sahaja di dada langit! SubhanAllah! Tidak dapat saya lupakan pengalaman itu.

Artikel kali ini sedikit panjang dan lebih kepada teknikal. Harap anda semua dapat memahaminya sebaik mungkin. Apabila kita memahami bagaimana sesuatu peristiwa itu terjadi, maka kita akan lebih menghargai apa yang sedang berlaku tersebut. Wallahualam.

Jom sertai saya di dataran Planetarium Negara pada hari jumaat ini bermula jam 2 petang hingga 6 petang. Banyak teleskop akan disediakan disamping pelbagai peralatan cerapan lain. Cermin mata solar juga akan diberi secara percuma bagi yang datang awal. Masuk adalah percuma.

Ada sebarang komen, persoalan dan sebagainya dalam kotak fikiran anda? Sila tinggalkan di ruangan komen di bawah. Maklum balas dari anda amatlah saya hargai.


Jom mencerap!

Mohd Rizuan B. Ali,
013-2180412
ibnu_ali_87@yahoo.com
www.astromas2020.blogspot.com

0 komen:

EXCO BARU ASRAMA 2010/11

EXCO BARU ASRAMA 2010/11

Membeli Sambil Menderma!

Membeli Sambil Menderma!

Template by:
Free Blog Templates