13 July 2008

Makhluk Terindah


Dan sesiapa yang melihat dia akan mengakui, dialah makhluk terindah pernah diciptakan Tuhan. Dialah makhluk itu, makhluk yang bernama wanita. Makhluk terindah pernah diciptakan Tuhan. Lantaran keindahan yang teramat itu, maka perlu akan penjagaan, agar keindahan itu terpelihara menghiasi, mengharumi dan mewangi sepanjang zaman. Damai, tenteram, tenteram dan damai- sepanjang zaman. Atas ihsan Tuhan yang mengenali tiap makhluknya, maka Tuhan memperkenalkan peraturan tertentu agar makhluk terindah itu terpelihara, mendamaikan dan menenteramkan seisi alam. Kerana Tuhan itu yang mencipta, maka Tuhan sudah tentu mengetahui peraturan yang mampu menjaga makhluk terindah itu daripada kerosakan dan kehancuran.

TUHAN... AKU INI SEORANG PEMBERONTAK! SEORANG PEMBERONTAK!

Dan dia menjadi gila. Dia rela mencemarkan keindahan dirinya dengan melanggar aturan Tuhan. Bermula saat dia melanggar aturan Tuhan, dia bukan lagi dia yang mendamaikan, sebaliknya dia sudah menjadi dia yang menghairahkan. Dia bukan lagi dia yang menenteramkan, sebaliknya dia sudah penjadi pengacau yang jahat dalam minda sesiapa sahaja yang memandangnya. Dia sudah menjadi dia yang gila saat dia melanggar aturan Tuhan sedang aturan itu perlu untuk dia kekal damai dan tenteram. Saat dia mempamerkan rambutnya, saat dia menyelak kerudung yang melitupi dadanya, saat dia menyentengkan lengannya. Dia sudah menjadi hina. Sedangkan sebelum ini, dialah makhluk terindah yang mendamaikan dan menenteramkan.

TUHAN... AKU INI PEMBERONTAK! SEORANG PENAGIH CINTA! CINTA!

Dan saat hormon berahi menguasai tiap penjuru jiwanya, dia terkulai tidak bermaya. Dia perlukan cinta. Dia rela menjadi pelacur asalkan bayarannya adalah cinta. Lantas dibiarkan tiap inci tubuhnya dijarahi, direlakan suaranya memujuk dan merayu, dihias tubuhnya secantik termampu, diukirnya senyum termanis, dibiarkan tubuhnya dirangkul, asalkan bayarannya nanti adalah cinta. Dia sudah menjadi pelacur demi cinta. Andailah dia mampu bersabar, dia akan kekal mulia sebagai makhluk terindah yang menenteramkan dan mendamaikan. Dia sudah tidak mampu berfikir, dia ketagihkan cinta. Dia melacur demi cinta. Dia sudah menjadi pelacur sedangkan sebelum ini dia adalah makhluk terindah yang mulus, suci, tenteram dan mendamaikan.

TUHAN... AKU INI PEMBERONTAK.... TUHAN....AKU INI PEMBERONTAK....

Dan malam yang dingin itu, butir-butir mutiara berguguran jatuh ke ribanya. Sedu dan sedan. Pilu. Sedih dan rintih. Damai dan tenteram. Pulang ke pangkal jalan. Kembali.

“Tuhanku, aku ini pemberontak, pelanggar hukumMu yang setia. Aku ingin kembali. Ingin pulang. Ingin membersihkan diri dari noda-noda hitam.” Air mata berguguran.

“Tuhan aku ini pendosa, bernilaikah taubatku di sisiMu, Tuhan?” Air mata berderaian.

Taubat setulus itu, masakan Tuhan tidak menerima. Dan malam yang dingin itu, diresapi dengan damai fimanNya, mereka yang mengerjakan kejahatan, kemudian bertaubat dan beriman, sesungguhnya TuhanMu adalah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. (Al-A’raf, 153)

Dan dia, lena dalam kerudung putihnya. Damai. Tenteram.

www.iLuvislam.com

0 komen:

EXCO BARU ASRAMA 2010/11

EXCO BARU ASRAMA 2010/11

Membeli Sambil Menderma!

Membeli Sambil Menderma!

Template by:
Free Blog Templates