10 February 2008

Isu Muslimah

Pakai inai ala tatu dilarang!

Oleh: WAN SYAMSUL AMLY WAN SEADEY

 KUALA LUMPUR 9 Feb. – Beberapa tokoh agama dan budayawan negara hari ini melarang umat Islam daripada memakai inai ala tatu kerana ia bercanggah dengan ajaran agama dan mencerminkan budaya Barat.

Menurut mereka, trend yang semakin digilai remaja terutama perempuan itu melambangkan sesuatu yang dilarang, lebih-lebih lagi jika ia berlambang haiwan atau mewakili kumpulan tertentu.

Mufti Perlis, Dr. Asri Zainol Abidin berkata, perbuatan itu jelas dilarang dalam hadis terutama jika menggunakan jenis inai yang kekal lama di anggota badan.

‘‘Tak boleh. Jelas ia salah. Kita lihat hari ini ramai remaja yang conteng badan dengan inai.

‘‘Lebih-lebih lagi gambar haiwan. Itu tabiat buruk dan melambangkan keganasan,’’ katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Sebelum ini, tokoh ulama terkenal, Datuk Abu Hasan Din berkata, pemakaian inai ala tatu di tangan jelas melanggar hukum syarak.

Menurutnya, perbuatan itu jelas salah terutama kepada pengantin yang mengukir tangan mereka dengan corak-corak tatu melampau.

Tambah Asri, kelonggaran tetap ada jika pemakaian inai itu berunsur sementara dan tiada halangan untuk air sembahyang melaluinya.

‘‘Tidak apa kalau pakai inai biasa. Tidak salah jika ia hilang selepas dua atau tiga hari di tangan,’’ ujarnya.

Pendakwah bebas, Daud Che Ngah berkata, pemakaian inai yang bersifat lebih kepada tatu adalah dilarang kerana ia menggambarkan ajaran yang bercanggah dengan agama Islam.

Namun menurutnya, pemakaian inai tidak kekal sebenarnya dibolehkan dengan niat untuk berhias kepada suami pada hari perkahwinan.

‘‘Tak ada masalah kalau hendak pakai inai di jari. Tapi kita tengok hari ini macam hendak melukis segala-galanya di tapak tangan.

‘‘Salah kalau sengaja membuat tatu walaupun dengan inai. Tatu itu sendiri dilarang kerana ia bukan budaya kita,’’ jelasnya.

0 komen:

EXCO BARU ASRAMA 2010/11

EXCO BARU ASRAMA 2010/11

Membeli Sambil Menderma!

Membeli Sambil Menderma!

Template by:
Free Blog Templates